My Social Link

Monday, September 27, 2010

Bengkel Kecemerlangan PI PMR SMSLD



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

Kini giliran sekolah sendiri pula aku mencurah tenaga memperkasakan penguasaan calon-calon PMR 2010 bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Program ini belangsung pada 23 dan 24 Sept. 2010 di Dewan Sri Bayu dan Dewan Sri Danum.

Berhadapan dengan pelajar sekolah sendiri ini tidak sama dengan pelajar-pelajar sekolah luar yang pernah aku pergi berceramah. Bukan niat hendak membandingkan status pelajar dan tahap pencapaian akademik mereka tapi ini berkaitan dengan harapanku pada diri pelajar. Niatku satu untuk memberikan tips-tip yang terbaik kepada pelajar untuk menjawab soalan sebenar tanpa mengira jenis sekolah. Dan bagi sekolah sendiri sememangnya harapanku lebih dari itu iaitu untuk membolehkan mereka mendapat semua A dalam PMR nanti sebagaimana pencapaian tahun 2007.

Program bermula 23.9.10 jam 8.15 malam dengan sesi ceramah Teknik Menjawab Soalan P.I PMR 2010 dan disampaikan olehku sendiri. Turut bersama membantu ialah Us. Mohd Puzi, Us. Mohd Kasri dan Ustazah Norrizar. Dalam sesi ini aku menerangkan teknik-teknik penulisan jawapan terbaik, kaedah mudah pembelajaran jawi dan penerangan tentang kata tugas soalan. Sesi yang lebih kepada penerangan teori ini mendapat respon yang baik dalam kalangan pelajar.

24.9.2010 seawal jam 7 pagi program ini disambung dengan pembahagian kumpulan bengkel. Sebanyak 12 kumpulan kesemuanya dan setiap kumpulan ditugaskan untuk menjawab satu soalan percubaan PMR Pendidikan Islam negeri Kelantan dan Terengganu. Semua pelajar berkumpul di dalam dewan berbengkel mengikut kumpulan dengan bimbingan guru-guru P.Islam yang ada. Setelah satu jam berlalu masa berbengkel kini pelajar ditugaskan pula untuk membentangkan hasil kumpulan mereka menjawab soalan. Pembentangan yang dibuat di atas pentas ini diperhatikan oleh guru-guru P.Islam seterusnya mengulas tahap dan kualiti jawapan yang dihasilkan oleh pelajar. Jam 11.15 tengahari kami berhenti rehat dan akan sambung kembali jam 2 petang di dewan makan.

1.45 petang aku dah sedia ada di dalam dewan makan bersama dengan us.kasri mengurus p.a sistem. Nanum setepat jam 2 petang hanya kurang 10 orang pelajar yang ada masa tu. Ke mana 80 pelajar selebihnya... masih dibuai ulit mimpi.. 2.45 petang barulah semua 90 pelajar ada di dalam dewan. Kelewatan mereka ini membangkitkan rasa marah bagi kami terutamanya aku dan us.fuzi. Apa lagi.. yang mana lewat semuanya di denda ketuk ketampi (aspuri) dan tekan tubi (aspura) 100 kali tanpa henti di luar dewan makan.

Mood untuk meneruskan progam terganggu seketika gara-gara sikap pelajar yang sukar berubah dari awal tahun gemar melengah-lengahkan masa. Setelah mood kembali bersemangat pelajar dijemput kumpulan demi kumpulan untuk membentangkan hasil bengkel mereka di dalam kumpulan, dan kemudian di ulas olehku dan us. Fuzi berdasarkan kaedah-kaedah yang telah didedahkan kepada mereka.

Selesai sesi bengkel dan pembentangan kami teruskan dengan sesi analisis tajuk-tajuk yang jangka masuk dalam PMR dalam berdasarkan soalan-soalan percubaan negeri-negeri dan tajuk tudingan dari negeri JPN Johor. Alhamdulillah banyak tajuk-tajuk yang diklasifikasikan sebagai tajuk target. Namun pesanku kepada murid jangan sekadar bergantung kepada tajuk-tajuk tanpa mempedulikan tajuk-tajuk yang lain, takut nanti tersilap langkah buruk padahnya. Sesi bengkel ini berakhir dengan sesi analisis ini. Kebanyakan pelajar berpuas hati dengan bengkel yang dijalankan sekalipun menggunakan tenaga pengajar dalam sekolah sahaja.

Bagi diriku dan guru-guru P.Islam mengharapkan yang terbaik untuk pelajar ini apabila berhadapan dengan peperiksaan P.Islam pada hari pertama PMR. Segala kemahira, teknik dan kaedah disediakan, kini terpulang kepada kemampuan mereka semua.. selamat maju jaya

Monday, September 13, 2010

PERHATIAN CALON SPM SMSLD 2010



السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية


ADALAH DENGAN INI SAYA MENGISYTIHARKAN BAHAWA TUGASAN DAN KERJA RUMAH UNTUK CALON-CALON SPM SMSLD TAHUN 2010 SEPANJANG CUTI PERAYAAN AIDILFITRI INI DITANGGUHKAN PADA SUATU MASA YANG DIBERITAHU KELAK.

PENANGGUHAN INI UNTUK MEMBERI PELUANG KEPADA SEMUA CALON SPM SMSLD BERHARI RAYA BERSAMA KELUARGA DAN SAHABAT HANDAI TERCINTA SEMERIAH YANG MUNGKIN.

SAYUGIA SAYA MEMAKLUMKAN JUGA BAHAWA SELEPAS CUTI PERAYAAN INI SATU UJIAN/PEPERIKSAAN KHAS BAHAGIAN SIRAH DAN TAMADUN (TINGKATAN 4 & 5) AKAN DIADAKAN TANPA SEBARANG NOTIS TERLEBIH DAHULU. MANA-MANA CALON YANG DIDAPATI TIDAK MENCAPAI SEKURANG-KURANGNYA 75% DALAM UJIAN\PEPERIKSAAN TERSEBUT MAKA DENDAAN DAN HUKUMAN AKAN DIKENAKAN.

SEKIAN DIMAKLUMKAN,

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN,

PENYIMPAN MOHOR BESAR SOALAN-SOALAN UJIAN/PEPERIKSAAN SMSLD
2002 - 2010