My Social Link

Saturday, January 30, 2010

Selamat Tinggal Asrama

Sudah nekad dan muktamad, bermula Februari 2010 diriku bukan lagi seorang waden asrama Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. 2002 penulis mula diamanahkan memegang jawatan tersebut hinggalah esok (31.1.2010). Pelbagai kenangan manis, pahit dan sedih dirasai sepanjang tempoh tersebut dalam berhadapan dengan pelbagai perangai dan kerenah murid-murid.


Watakku sebagai seorang yang tegas dan suka memberikan 'cash' kepada murid kadang-kadang mengundang kebencian mereka pada diriku hingga diri diumpat, dikutuk, disumpah dan diajak bertumbuk (suatu ketika dulu 2004). Namun itulah asam garam sebagai seorang waden yang bukan sahaja di sini bahkan di mana-mana sekolah pun. Kecekalan, ketabahan dan kesabaran amat-amat diperlukan untuk mengurus jiwa muda remaja yang kadang-kadang membara.

Mengutip pengalaman dari tahun ke tahun bersama murid di asrama membuahkan suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan. Lebih-lebih lagi di saat mereka menghadapi darurat yang tidak dijangka seperti peristiwa histeria di asrama perempuan tahun 2003 hingga 2005 dan wabak H1N1 yang menggemparkan Lahad Datu pada Julai tahun lalu. Haru biru asrama dan sekolah dibuatnya. Ada juga hikmah atas apa yang berlaku cuma kita terlalu naif di sisi Allah, mungkin untuk menguji keimanan kami atau mungkin sebagai musibah lantaran maksiat yang timbul di luar pengetahuan kami.

Ya Allah jadikan murid-murid kami ini hamba yang sentiasa beribadat kepadaMu, sedarkanlah mereka dari lamunan yang tiada hentinya, ikhlaskanlah hati mereka untuk menyimpan ilmuMu
demi kejayaan akhirat. Buat rakan-rakan waden yang masih setia teruskanlah mengurus mereka sesempurna yang mungkin seperti anak sendiri, jangan biarkan mereka anggap lagi asrama ini seperti penjara biarpun mereka sendiri yang jadikan sedemikian.

Yang benar,
Yusri Yusoff
Waden Aspura 2002-2010

Sunday, January 10, 2010

Tahun Baru..Lembaran Baru

Kini sesi pembelajaran 2010 sudah seminggu bermula, semestinya guru-guru dan murid-murid memasang azam yang terbaik untuk dicapai pada tahun ini. Murid akan terus berusaha agar setiap keputusan ujian dan peperiksaan mencatatkan kejayaan manakala guru tidak pula berputus asa untuk mengasah dan menggunakan kemahiran yang ada demi sebuah kepuasan dan kecemerlangan. Rehat yang hampir 2 bulan memang sudah cukup untuk murid dan guru memperkemaskan ilmu diri agar 2010 diredahi dengan penuh makna.

Timbul persoalan ... betulke murid-murid sudah bersedia untuk mencemerlangkan diri mereka pada tahun 2010 ini. Penulis telah masuk beberapa kelas tingkatan 4 dan 5.. boleh dikatakan baru 20% yang betul-betul bersedia memulakan pembelajaran, selebihnya masih dibuai mentaliti tahun sebelumnya. Tugasan yang diberikan sebelum cuti akhir tahun 2009 tidak disempurnakan sebagaimana yang dikehendaki. Disuruh hafal 6 potongan ayat hafazan pun tidak dipedulikan, setakat hafal cincai-cincai adalah.. emm!!

Tahun ni penulis masih diamanahkan untuk mengajar tingkatan 4 (4M) dan tingkatan 5 (5D,5M dan 5Z), kesemuanya 20 masa seminggu. 2010 ini lebih mencabar bagi penulis kerana 'partner' yang sama-sama menaikkan nama P.Islam SPM sekolah ini di peringkat SBP telah berpindah ke sekolah lain. Begitu juga dengan P.Islam PMR, seorang ustazah telah berpindah mengikut suami ke Sandakan. Perpindahan 2 guru agama sekolah ini ada penggantinya yang telah melapor diri pada 4.1.10. .iaitu ustaz Shahizan (Pahang) dan ustazah Siti Rahayu (Kelantan). Semestinya sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam kedua-dua guru ini akan diberi pengalaman dan pendedahan P n P dari masa ke semasa agar prestasi Pendidikan Islam sekolah ini berada pada tahap yang sepatutnya atau lebih baik.

Dari segi perjawatan tahun 2010 ini tidak banyak yang berubah dari 2009. Penulis masih lagi Ketua Panitia Pendidikan Islam, Setiausaha Peperiksaan dan Timbalan Ketua Waden. Tugas guru penasihat Persatuan Agama Islam sudah diamanahkan kepada ustazah Siti Rahayu. Hasrat di hati ingin melepaskan jawatan waden asrama, namun tidak kesampaian biarpun surat peletakan jawatan sudah dihantar tahun lalu. Alasan pengetua tiada guru yang gred 41 setakat ni yang boleh menggantikannya. Namun penulis akan merayu lagi dalam sehari dua ini dengan pengetua untuk terus meletak jawatan.