My Social Link

Tuesday, November 24, 2009

Syukur Alhamdulillah

Hari ini 24.11.09 adalah hari yang menyebabkan penulis balik lewat untuk bercuti akhir tahun. Dari awal tahun lagi dinanti, tertanya-tanya bagaimana kebenaranya soalan Pendidikan Islam SPM tahun 2009 ini.

Seawal jam 7.00 pagi pelajar semua berkumpul di hadapan dataran PIBG untuk roll-call pagi. Di kesempatan ini penulis mengambil peluang untuk memberikan tips-tips dan amanah terakhir kepada calon-calon sebelum menjawab soalan Pendidikan Islam.

Pena sudah dihujung jari, soalan sudah di atas meja, ilmu sudah sedia diuji, menantikan pengawas mengatakan mula. Berbekalkan ilmu dan persediaan pelajar dari awal tahun diharapkan mereka dapat menjawab dengan tenang dan menyakinkan. Usaha telahpun usaha, doa dipanjatkan sentiasa hanya berserah pada yang Maha Esa. Penulis dan guru-guru yang lain sentiasa mendoakan kejayaan anda.

Alhamdulillah ku panjatkan kepada Ilahi, soalan P.islam SPM tahun ni boleh dikatakan 'ok' dan tiada seorang pelajar yang merungut susah. Andaiannya semua boleh jawab dengan baik, terutamanya kertas 2. Penulis telah melihat soalan kertas 1 dan 2 tersebut dan memang tidaklah terlalu rumit dan sukar. Lebih-lebih lagi hampir 90% soalan kertas 2 'kena' dengan tajuk target dan 80% bagi kertas 1. Mudah-mudahan batch tahun ini mampu mengulangi kejayaan mereka tahun 2007 dan senior-senior mereka 2 tahun berturut-turut sebelum ini.
Amiiiiin!!!!.

Thursday, November 19, 2009

Tsunami Perpindahan Guru

Hari ini (19.11.09) perhimpunan penutup tahun 2009. Pelajar2 tingkatan 1-4 dibenarkan pulang hari ini untuk memberi ketenangan dan keselesaan pelajar2 SPM menghadapi peperiksaan. Apa yang menjadi topik utama dalam perhimpunan hari ini adalah ucapan perpindahan guru-guru ke destinasi masing2.

Dewan Seri Bayu menjadi saksi ucapan demi ucapan guru-guru yang berpindah di atas pentas di hadapan warga SMSLD. Linangan airmata terkadang jatuh dari kelopok mata mereka mengiringi ucapan yang terhenti-henti menahan sedih dan hiba. Beberapa tahun mereka berkhidmat di bumi Lahad Datu ini sudah pasti mencatat banyak kenangan dan pengalaman pahit dan manis yang sukar dinukilkan dengan kata-kata.

Penulis pun merasa sedih dan sayu mendengar ucapan rakan2 yang selama ini bersama-sama berjuang di Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. Bila ada sesuatu program kami berkerja dengan mesra sekalipun adanya bermasam muka kerana khilaf yang menyentuh jiwa. Namun itu hanya sementara kerana kami tahu kami di sini tiada siapa..kamilah adik beradik yang saling memahami dalam setiap perkara. Buat rakan-rakan yang bakal mencurah bakti di tempat yang baru;

1. Cik Ainey Suraya Zainal Rahim (SBPI Mersing)
2. En. Mohd Roshidi Abdul Kani (SMS Kubang Pasu)
3. En. Hamad Karudding (SBPI Pekan)
4. En. Mohd Nazaruddin Hamzah (SMS Ulu Selangor)
5. En. Hasrul Anwar Hassan (SMS Bagan Datoh)
6. Cik Rufiza Lila Mohd Radzi (SMS Bagan Datoh)
7. Puan Fadzillah Dahalan (SMS Bagan Datoh)
8. Cik Masitoh Din (SMS Kubang Pasu)
9. Suriawati Jani (SMS Rembau)
10. En. Kenidy Maloi - belum ada surat
11. Puan Ernahwati Maripah - belum ada surat
12. Puan Norhaslida Razali - belum ada surat
13. En. Shafian Ishak - sambung belajar di US/UK

Kenangan bersama kalian tidak akan dilupakan sampai bila2. Kalian semua amat komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas di sini terutamanya dalam membantu secara langsung program-program anjuran Panitia Pendidikan Islam seperti Ihya' Ramadhan / Malam Khatam Al-Quran dan Program Amali Sembelihan.

Akhir kalam ampun dan maaf dari penulis sekiranya kita pernah bersengketa bermasam muka samada sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam, Ketua Setiausaha Peperiksaan, Waden Asrama atau rakan biasa. Semoga khidmat bakti kalian di tempat baru menjadi kebanggaan yang boleh dikongsi dengan rakan di sini..

Saturday, November 14, 2009

Dilema Perpindahan Guru dan KPLI

Panas...masih panas. Keputusan guru-guru yang ingin berpindah antara negeri sudah keluar minggu lalu. Yang dapat pindah gembira tak terkata..yang tak dapat pindah kecewa untuk kali seterusnya. Namun penulis masih belum terlibat dalam kedua-dua situasi ini.

Simpati memang simpati dengan nasib kawan-kawan yang dah bertahun-tahun nak pindah balik semenanjung, terutama yang sama-sama berjuang di bumi Lahad Datu ini. Lagi simpati bagi guru-guru yang dah beberapa tahun berjauhan dengan isteri dan suami

Di sini penulis bukan nak mempertikaikan dasar dan syarat perpindahan yang ditetapkan KPM, tapi kadang-kadang merasa pelik.. ada yang baru setahun dua berkhidmat di sini dapat pindah, yang dah 5 tahun dan ke atas pulak tak dapat. Meskipun sebab-sebab perpindahan itu sama... berjauhan dengan pasangan masing-masing..atau alasan sudah ada rumah di semenanjung. Kecewa berterusan di wajah mereka. Yang dapat pindah pulak gembira berganda bila dapat balik ke kg halaman sendiri.

Masih juga panas pasal KPLI. 12 Nov baru ni keluar semakan untuk t.duga KPLI ambilan Jan 2010.. permohonan terhad dari calon simpanan BPG yang tidak berjaya temuduga Jun lalu. Dalam salah satu forum di internet macam2 respon dari mereka2 yang mengharapkan dapat untuk t,duga ni.. saingan terlalu ramai untuk menjadi guru termasuklah isteri penulis sendiri yang lebih 6 kali memohon KPLI ini. Ada yang baru sekali mohon terus dapat..fresh graduate katakan.. yang dah berkali2 mohon hanya air mata menjadi saksi bila setiap kali membuat semakan di internet.

Kedua2 situasi ini terus menjadi dilema.. setiap tahun.. apakah perlu ada 'orang dalam atau kabel' yang kuat dalam urusan ini barulah terjawab segala-galanya.. kita tiada sesiapa di sana yang ada hanyalah Allah SWT yang menguasai segalanya dan berada di mana-mana.

sekadar renungan sahaja..

Bersabarlah wahai teman, semua ini adalah percaturan Allah yang memberikan seribu hikmah disebalik yang nyata, cuma qudrat kita yang menghijab untuk mengetahui segalanya.




Friday, November 6, 2009

Demam SPM

Dengan berbekalkan beberapa hari sahaja lagi calon2 SPM seluruh negara bakal menghadapi satu peperiksaan yang besar dalam hidup mereka. 18 November bakal menyaksikan mana antara mereka yang sudah bersedia ataupun belum untuk meluahkan segala ilmu yang ditimba selama 5 tahun.

Bagi pelajar SMSLD pelbagai gelagat dan reaksi tergambar di wajah mereka. Ada bagaikan tekanan dengan masa hanya berbaki 11 hari sahaja lagi. Maklumlah mungkin ada lagi yang topik2 belum sempat dicover. Ataupun mungkin ada yang baru sahaja tersedar dari terlena bahawa mereka akan mengambil peperiksaan yang penting tahun ini.

Di sebalik penantian hari2 SPM masih ada juga antara mereka yang semakin terleka dalam mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada, samada di sekolah mahupun di asrama. Apapun keadaan mereka didoakan agar semuanya dapat menunggu kehadiran 18 hb ni dengan tenang dan selesa.