Sunday, August 15, 2010

Kelahiran Ahmad Khalil Khusairi

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

8.8.10 bermula detik yang mencemaskan dan mendebarkan bagi diriku dan lebih-lebih lagi bagi isteriku. Biarpun saat ini adalah saat yang dinanti-nantikan untuk menimang cahaya yang baru namun perasaan takut dan risau tetap ada dalam hati kami. Pada petang Ahad tu kami ke bandar seperti biasa siap shoping baju baby dan makan-makan lagi di sana. Jam 6 lebih kami sampai rumah dalam kepenatan. Lepas maghrib... apa lagi aku tumbang tidak sedarkan diri. Isteriku entah apa yang dibuatnya. Sedar-sedar dalam 10 malam lebih isteriku kejutkan aku tidur katanya macam sakit perut. Cemas sekejap aku.. terus pi solat isyak dan buat apa2 yang patut. Sempat tenangkan diri dan tanya betul-betul isteriku.. 'sakit nak bersalin ke?'. 'entahla bang susah nak agak', jawab isteriku.

'Si Balqis dan Humaira sedang nyenyak tidur, camne ye nak uruskan semua ni, nak pergi ke tak hospital kalau pergi takkan nak bawa kedua-duanya ke hospital'.. kata isteri kepadaku. Selepas berfikir panjang kami ambil keputusan untuk pergi ke hospital biarpun tidak tahu maksud tanda sakit perut itu. Tapi sebelum tu sempatlah aku menjadi doktor tidak bertauliah sekejap periksa apa-apa yang patut. Dan berdasarkan pengamatanku memang patut ke hospital. Anak-anak nak letak mana ?.

Hendak dihubungi pengasuhnya macam susah pulak dia nak datang malam-malam begitu. Aku nak hantar sana pun jalan kerumahnya macam teruk sikit apatahlagi waktu malam lagilah tak nampak apa-apa kiri dan kanan jalan. Akhirnya isteriku minta ambil Along di asrama untuk tidur di rumah menjaga adik-adik. Nasib juga masa tu masih awal belum jam 11 lagi, terus aku hubungi warden aspuri minta kebenaran untuk membawa Along ke rumah. Dan aku dengan isteriku terus ke Hospital Lahad Datu dalam keadaan berdebar dan risau.

Sampai sana, terus nurse mintak isteriku masuk bilik khas untuk membuat pemeriksaan. Ternyata apa yang nurse tu cakap sama dengan hasil pemeriksaanku semasa di rumah. He he.. jadi isteriku dimasukkan ke wad bersalin. Nurse tu bagitau kalau pagi esoknya tiada apa-apa perubahan isteriku boleh minta balik kerumah dengan izin doktor bertugas. Namun keesokannya aku diberitahu semasa di sekolah bahawa isteriku memang kena tinggal di wad kerana tanda-tanda bersalin makin ketara. Tengahari Isnin tu aku dan Balqis melawat isteri di hospital tu, bersembang dan memberi kata-kata semangat. Tengah asyik bercerita tiba-tiba nurse panggil isteriku untuk pemeriksaan lagi dan seterusnya membawa isteri ke dewan bersalin. Dengan rasa takut, berdebar dan risau aku dan Balqis mengiringi isteri hingga ke pintu dewan bersalin. Sayu seketika bila isteri berkata " abang ayang masuk dulu ye, doakan ayang dan maafkan ayang serta halalkan segala makan minum yang abang berikan pada ayang'. Sebelum babak sedih berlanjutan aku spontan katakan semuanya ok, jangan risau semuanya akan selamat nanti. Tapi dalam hati suami mana yang tidak risaukan isterinya semasa bersalin.. antara hidup dan mati seperti berpegang pada sehelai rambut sahaja.

Selepas itu aku bergegas pulang untuk menghantar Balqis di rumah pengasuhnya menemankan Humaira. Kemudian kembali ke hospital. Sesampai di sana keluh kesah aku di luar dewan bersalin dan lagi mendebarkan bila aku sms tiada sebarang balasan dari isteri, fikirku mungkin sudah bersalin atau tiada talian atau bateri telefonnya sudah habis. Bermundar mandiranku ber'saie' kiri dan kanan di depan pintu dewan bersalin. Bila nampak saja seorang nurse yang nak masuk ke dewan tersebut terusku tahannya dan bertanyakan keadaan isteri, jawabnya
"Puan Sarah belum lagi bersalin encik". Masa tu baru jam 3 petang... badan macam dah lesu kepenatan, akhirnya menungguku dalam wira di parkir kereta tumpangkan mata lelapkan sejenak bersama alunan tarannum yang sedia terpasang dalam pemain kaset keretaku.

Dirasakan sejenak rupanya sejam lebih juga aku ketiduran, mungkin kerana buaian merdu jawabul jawab qari dari Indonesia di dalam kaset itu. Mata terus memandang skrin kedua-dua telefon kalau-kalau ada sebarang 'sms' dari isteri tercinta. Tiada sebarang 'sms' pun... Apalah perkhabaran sebenarnya di bilik bersalin itu. Ku cuba telefon tapi tiada liputan, ku hantar 'sms' langsung tiada berbalas. Memang sah... bukan sah bersalin tapi sah bateri telefonnya sudah habis. Emm macam mane ye nak masuk ke tempat tu untuk tukar telefonku... dalamnya semua perempuan (memanglah dah dewan bersalin kan ?).

2 jam lebih tiada sebarang berita, akhirnya aku masuk jugak dewan bersalin melepasi pintu pertama untuk berjumpa dengan isteri. Kelihatan seorang nurse menyedari keadaanku di situ dan terus datang bertanya. Jawabku jujur..kerisauan seorang suami. Menoleh kebelakang seolah nurse minta kebenaran pula dengan seorang doktor di dalamnya. Alhamdulillah aku dibenarkan masuk sekejap untuk berjumpa dengan isteri. Urusanku bertambah mudah kerana doktor tersebut adalah rakanku yang selalu bertemu bila mana ada kenduri di rumah kawan-kawan Kelantan. Peluang yang diberikan aku gunakan untuk memberi kata-kata semangat dan bacaan-bacaan selawat yang sepatutnya. Masa ni aku sedari isteri sudah tidak terlalu selesa dengan kandungan yang sakit sekejap-kejap bagaikan hampir nak bersalin. Tapi katanya sejak dari awal masuk bilik tu memang keadaannya begitu.. dan mungkin malam baru bayi ni nak tengok dunia. Jadi aku minta izin dengan isteri untuk pulang sekejap untuk urus makan minum 2 orang anak lagi di rumah pengasuhnya dan menjemput Angah dari stesen bas yang akan sampai dari Tawau.

Dari stesen bas Fajar aku terus ke stesen minyak Petronas Jalan Silam untuk solat magbrib dan seterusnya menapau makanan untuk anak-anak. Selesai menghantar makanan aku balik kerumah sekejap untuk men'caj'kan telefon dan diriku. Semasa tengah makan isteriku menghantar 'sms' " Anak lelaki baba dah keluar, sekarang ni sudah di wad bersalin". Tika ini sebakku terasa kerana aku tiada di sana ketika isteri bersalin, biarpun tidak dapat masuk ke bilik bersalin namun sekurang-kurangnya aku berada di situ kalau-kalau ada sebarang kemungkinan berlaku. Tapi alhamdulillah dengan izin Allah semuanya dalam keadaan baik dan sihat. Cepat-cepat ku bergegas ke hospital untuk azankan bayi ditelinganya. Sesampainya di sana terusku ambil anak dan azankan di telinga kanan serta iqamat dikirinya. Kelihatan wajah isteri sejuta kepenatan dan bayi di sampingnya lena kekenyangan. "bang... sakit betul melahirkan baby boy ni, tak macam Balqis dan Humaira dulu" tutur lesu isteri kepadaku sambil memegang jemari ku ini. Balasku " sabarla sayang, semuanya dah selesai dan banyak-banyak terima kasih untuk ayang kerana lahirkan anak kita yang ketiga". Keadaan isteri memang betul-betul lemah dan sakit, terutamanya di sebelah kanan. Kalau nak berpusing susukan anak perlukan bantuan seseorang.

Ikutkan hati aku nak je temankan isteri di wad tu, tapi pengawal keselamatan dah mula menjeling isyarat minta ku beredar. Pintaku dengan nurse senior untuk temankan isteri tapi memang tidak dilayan dengan jawapan yang penuh berhemah. Aku akur dengan peraturan itu. Ku pulanglah kerumah dengan membawa tembuni untuk diurus keesokkan harinya. Tengah-tengah malam begini dirasakan takut pulak untukku urus tembuni itu.

Seusai mengurus tembuni 10.8.10, isteriku maklumkan dia dibenarkan pulang petang nanti. Sebelum menjemputnya pulang aku singgah dulu membeli pesanan isteri ... ikan masin gelama, halia, kunyit hidup, ragi, limau nipis dan sewaktu dengannya.. Bila tibanya isteri dirumah maka bertambahlah profesion harianku.. mengurus anak-anak dan jadi tukang masak serta tukang urut peribadi. Alhamdulillah bila tiap-tiap malam mengurut bertuku isteri akhirnya sakit-sakit di dalam badan bahagian kanan isteri semakin berkurang. Syukur alhamdulillah...

Nama anak : Ahmad Khalil Khusairi
Tarikh Lahir : 09.08.10
Masa Lahir : 6.45 petang (sewaktu ku singgah beli makanan di Rumpun Selera)
Berat Masa Lahir : 3.4 kg (kurang sekilo dari Balqis - kakak sulongnya)
Panjang Masa Lahir : 33cm


Friday, August 13, 2010

Ihya' Ramadhan Kali ke-7


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

Ramadhan Pentarbiah Peribadi Mahmudah, begitulah tema progam Ihya' Ramadhan SMSLD (IHRAM 7) kali ke-7 ini untuk tahun 2010M/1431H. Program yang diadakan sejak 7 tahun lalu ini terus mendapat sokongan dan sambutan yang baik dari pelbagai pihak samada warga sekolah, ibu bapa pelajar serta masyarakat setempat. Program yang secara langsung dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam SMSLD ini menampilkan Uztazah Norrizar Muhammad sebagai pengarah program dan dibantu olehku sebagai penolong pengarah serta semua warga SMSLD termasuk pelajar sebagai ahli jawatankuasa kerja. Program IHRAM ini yang bermula 11 Ogos hingga 2 September 2010 menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan untuk pelajar dan guru. Antaranya ialah Tazkirah Pagi, Kempen Ramadhan, Ifthar Jama'ie, Pertandingan MTQ dan Bazar Ramadhan. 2 aktiviti yang mendapat sambutan dalam kalangan pelajar ialah pertandingan MTQ dan Bazar Ramadhan. Pertandingan MTQ diadakan untuk mencari bakat-bakat baru untuk mewakili sekolah dalam acara Nasyid, Tilawah Al-Quran, Hafazan dan Syarahan Agama. Pertandingan ini dibuat mengikut rumah sukan masing-masing dan diharapkan persaingan yang sihat dapat dilihat dalam pertandingan ini. Bazar Ramadhan pula satu aktiviti yang paling meriah bagi pelajar kerana banyak kelab, persatuan dan unit uniform sekolah mengambil bahagian dalam bazar ini dan menjual pelbagai juadah-juadah ringan, berat, kering serta basah untuk hidangan berbuka. Pelajar-pelajar tentunya seronok kerana mereka tidak perlu ke bandar membeli juadah tambahan untuk berbuka puasa, begitu juga dengan guru-guru. Kemuncak kepada program IHRAM ini ialah Malam Penutupan Ihya' Ramadhan dan Malam Khatam Al-Quran. Pada malam ini diadakan majlis penyampaian 'angpow' raya kepada pelajar-pelajar terpilih serta persembahan-persembahan khas daripada pelajar. Bagi tetamu yang hadir termasuk guru-guru dan pelajar terpilih akan diberikan ole-ole daripada Panitia Pendidikan Islam SMSLD. Diharapkan program yang mulia ini berjalan dengan lancar dan mendapat keberkatan dari Allah SWT. Selaku tuan punya blog saya ucapkan selamat berpuasa buat semua semoga Ramadhan tahun ini memberi lebih makna dan iktibar buat kita, dan kita doakan agar lailatul qadr yang diburu menjadi milik kita semua.

Sunday, August 1, 2010

Salam Trial Exam for PMR & SPM Candidates

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

Selamat menghadapi peperiksaan percubaan untuk calon-calon PMR dan SPM 2010 bagi semua Sekolah Berasrama Penuh khususnya pelajar Sekolah Menengah Sains Lahad Datu yang akan bermula 2.8.10 (PMR) dan 3.8.10 (SPM).

Diharapkan peperiksaan kali ini semua pelajar bersedia dengan ilmu-ilmu dan kefahaman yang telah dipelajari, dan tulislah jawapan dengan kaedah dan teknik yang terbaik sebagaimana yang didedahkan dalam ceramah teknik menjawab sebelum ni.

Buktikan anda memang betul-betul mahukan semua A dan A+ dalam peperiksaan yang sebenar. Good Luck..

Salam Takziah - Banjir di P.Puteh, Tawau

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية


Pada ruangan blog ini saya mengambil kesempatan untuk merakamkan salam takziah kepada penduduk-penduduk Kg. Pasir Puteh, Tawau yang dilanda musibah banjir kilat pada malam 29 Julai baru-baru ini. Terutamanya kepada keluarga-keluarga pelajar yang sedang menuntut di SM Sains Lahad Datu ini.

Atas keprihatinan pihak sekolah semalam 30.7.10, lebih kurang 20 orang pelajar sekolah ini yang berasal dari kampung tersebut dibenarkan untuk pulang sementara menziarahi keluarga mereka dan membantu setakat mana yang mampu dan terdaya.

Berdasarkan cerita-cerita pelajar ini dari keluarga mereka memang sedih dan pilu mendengar kejadian yang berlaku. Air mula naik mencecah lantai rumah seawal jam 9 malam. Namun tiada siapa yang menyangka perkara lebih teruk berlaku selepasnya. Lebih menyayukan perasaan bila mereka asyik menyelamatkan apa-apa yang sempat tiba-tiba bekalan elektrik diputuskan untuk mengelak perkara yang lebih teruk berlaku. Dalam hujan lebat begini di tengah malam tanpa sebarang cahaya bagaimanalah mereka mengurus keadaan tersebut... mengurus ahli keluarga khususnya anak-anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Demi menyelamatkan nyawa semuanya terpaksa diredah asalkan berada di tempat yang tinggi. Waktu ini pastinya mereka mampu melihat sahaja barangan-barangan elektrik, kenderaan, pakaian, dokumen-dokumen penting mereka dihanyut dan ditenggelamkan air yang dikatakan hampir mencecah bumbung rumah.

Memang tersentuh hati bila memikirkan bagaimanalah keadaan mereka yang akan meyambut kehadiran Ramadhan Karim dan sambutan Aidil Fitri nanti. Sudah pasti semuanya dalam keadaan lebih sederhana dari biasa. Sungguh hebat ujian dan cabaran yang Allah berikan kepada penduduk Kg. Pasir Puteh ini. Diharapkan mereka dapat menempuhnya dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Dan yakinlah bahawa sesuatu yang berlaku itu ada hikmah serta pengajaran yang perlu diambil oleh semua pihak termasuklah pihak berkuasa tempatan untuk memastikan sistem-sistem saliran air serta keadaan sungai tidak menjadi penyebab banjir kilat seterusnya.

Salam takziah

Memori