Thursday, August 18, 2011

Mencari Alqadr

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

      Hari ini 18 Ogos 2011 umat Islam khususnya di Malaysia sudah 18 hari berpuasa Ramadhan. Amal ibadah semestinya digandakan berlipat kali untuk merebut ganjaran yang tersedia. Siang harinya muslim berpuasa dengan penuh ketaataan menjaga daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa dan memakruhkan pahala puasa. Malamnya pula diisi dengan solat sunat terawih dan ditambah dengan amalan-amalan sunat yang lain ; tadarus al-quran dan solat malam. Mudah-mudahan segala amalan yang kita lakukan ini ikhlas kerana Allah SWT agar segala ganjaran yang disediakan mampu dimiliki.. Amin.

       Dalam keghairahan mengumpul keredhaan Allah di bulan yang mulia ini, saban tahun kita perhatikan bagaimana fenomena yang berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini khusus di akhir-akhir Ramadhan. Jika di awalnya ramai orang berpusu-pusu berkunjung ke surau atau masjid menzahirkan rindunya pada Ramadhan melalui ibadat terawih hinggakan ruang solat tidak mencukupi. Namun bila di akhir-akhir Ramadhan surau dan masjid lengang kembali seperti bulan selain Ramadhan hinggakan boleh dilihat tiang masjidnya lebih banyak dari jemaah yang datang.

      Persoalannya, di manakah ahli-ahli jemaah yang biasa datang berselawat beramai-ramai antara solat-soalat terawih sebelum itu. Mungkin mereka berterawih sendiri atau mungkin mereka sibuk membuat persiapan raya samada membuat kuih atau biskut raya atau membeli belah pakaian raya hingga melupakan tuntutan-tuntutan sunat. Itu lah antara ujian yang Allah sediakan untuk muslim di bulan Ramadhan ini. Berkecamuk antara nafsu dan iman antara memperbanyakkan hal dunia dengan amal ibadat. Bagi mereka yang menghargai kehadiran Ramadhan memang tentu 10 akhir Ramadhan diisikan dengan pelbagai jenis ibadat-ibadat sunat mengabidkan diri kepada Allah. Harapannya dapat bertemu 'lailtul qadar' malam yang ganjarannya melebihi 1000 bulan.Begitulah juga harapanku mudah-mudahan dapat bertemu Alqadr yang menjadi idaman setiap muslim.

Memori