My Social Link

Wednesday, October 28, 2009

Gambar MIMBAR 09


Malam Imbauan Memori Bersama Rasulullah 09

Pada 24 Oktober yang lalu berlangsungnya Malam Imbauan Memori Bersama Rasulullah 2009 atau dikenali sebagai Mimbar 09. Program ini merupakan anjuran SMK Sepagaya dengan kerjasama syarikat-syarikat swasta dan kerajaan termasuklah Rabbani Production.

Seperti tahun-tahun sebelum ini pelajar SMSLD tidak ketinggalan untuk mengikuti konsert tersebut yang berlangsung di Dewan Sri Perdana itu. Seramai 63 pelajar telah terpilih untuk ke program tersebut yang majoritinya dari Persatuan Agama Islam SMSLD dan Kelab Nasyid SMSLD.

Perjalanan bertolak seawal jam 6.30 petang sebaik sahaja selesai solat maghrib. Program di dewan bermula dalam jam 8.30 malam yang didahului dengan persembahan Pentomin oleh pelajar SMK Sepagaya. Pentomin tersebut menceritakan keadaan masyarakat arab sebelum kelahiran Rasulullah SAW, yang dikenali golongan jahiliah. Kemudian disusuli dengan persembahan kumpalan Firast iaitu kumpulan nasyid tempatan yang diketuai oleh Us. Mohd Fadzli yang juga orang paling kuat dalam penganjuran program ini.

Seterusnya persembahan daripada kumpulan Far East, kumpulan ini tidak asing lagi bagi ahli kelab nasyid SMSLD kerana lagu-lagunya sering dinyanyikan mereka semasa latihan suatu ketika dahulu. Kumpulan Rabbani mengakhiri persembahan pada malam itu. Sekalipun tiadanya vokalis utama dalam kumpulan tersebut namun semangat dan persembahan mereka amat mantap sekali biarpun tidak sama dengan pembawaan arwah Us. Asri Ibrahim.

Selain persembahan nasyid dari kumpulan-kumpulan tersohor itu, penampilan utama dari Dato' Ustazah siti Norbahyah Mahmud yang menyampaikan tazkirah menyelangi persembahan-persembahan nasyid pada malam itu.

Lastly, terima kasih kepada penganjur khususnya us.fadzli yang sudi menjemput kami dan pelajar SMSLD untuk mengikuti program tersebut. Dan harapnya dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

Tuesday, October 13, 2009

Gerak Gempur Teras 09

Kalau program Perfect Score untuk subjek elektif, mengapa tiada program untuk subjek teras. Sebagai inisiatif Bidang Kemanusiaan dan Bidang Bahasa membuat persetujuan untuk mengadakan program seakan Perfect Score. Subjek tumpuan ialah P.Islam, B.Inggeris, B. Malaysia, Sejarah, P.Moral, dan Matematik.

Pogram yang dinamakan Gerak Gempur ini bermula 7,8,12,13 dan 14 Oktober 2009. Pengisian program tersebut terpulang kepada Ketua Panitia masing-masing. Bagi Panitia Pendidikan Islam pengisiannya ialah menjawab soalan-soalan percubaan negeri-negeri khususnya dari semenanjung. Fokus pengisian ialah Kertas 1 sahaja.

Pelajar dibahagikan secara berpasang berdasarkan rekod pencapaian peperiksaan percubaan 1. Pelajar yang mendapat markah tinggi (baik) akan dipasangkan dengan pelajar yang sederhana mengikut jantina. Semasa membuat tugasan pelajar yang sederhana akan menulis jawapan manakala pelajar yang baik akan membantu menilai kualiti jawapan kawannya. Setelah selesai melaksanakan tugasan guru membuat sesi penilaian kualiti jawapan yang ditulis oleh pelajar dan dibincangkan bersama-sama di dalam kelas.

Alhamdulillah progam ini mendapat respon yang baik daripada pelajar, terutamanya pelajar yang baik yang sudi menolong rakan sebaya tanpa jemu dan keinginan pelajar yang sederhana untuk dibantu. Harapannya program ini boleh menambah kesediaan pelajar untuk menghadapi SPM yang sebenar nanti.

Program Pasca PMR

Seperti tahun-tahun sebelumnya, calon-calon PMR tahun ini akan dihidangkan dengan pelbagai program akademik seperti aktiviti keceriaan asrama, pertandingan drama, taklimat akademik subjek-subjek SPM dan macam-macam lagi. Guru-guru yang terlibat kebanyakan daripada guru-guru yang mengajar tingkatan 3. Matlamat utama program ini ialah memanfaatkan ruang masa pelajar PMR.

Berlalunya PMR'09

Baru kini berkesempatan menukil coretan. Hari ini tamatlah debaran calon-calon PMR menempuh ujian pertama di peringkat menengah setelah 8 bulan berhempas pulas. Segala ilmu, rahsia, kaedah, teknik dan sebagainya telah guru-guru perturunkan dengan harapan membuahkan hasil yang lumayan dengan banyaknya bilangan A.

Berdasarkan pemerhatian secara tidak langsung, pelbagai reaksi dan riak terpacar di wajah-wajah calon PMR tahun ini. Ada yang tersenyum mengatakan senang, ada yang kelat tiada bersuara, ada yang muram bagaikan kecewa dan ada yang menitiskan air mata.

Harapan kami semua pelajar mendapat yang terbaik dalam semua mata pelajaran, terutamanya Pendidikan Islam untuk mengulangi rekod 2007 dengan 100% mendapat A, dan setanding dengan sekolah-sekolah elit di semenanjung.


Sunday, October 4, 2009

Program 4 Dalam 1





Hari ini 3.10.09 berlangsungnya program sekolah 4 dalam 1 buat pertama kalinya. Program tersebut ialah Amali Sembelihan (Semalam), Solat Hajat PMR dan SPM, Gotong Royong Sekolah dan Jamuan Aidilfitri SMSLD. Program ini adalah kerjasama daripada Panitia Pendidikan Islam, Unit Kecemerlangan Sekolah, Kelab Keceriaan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Seawal jam 7 pagi ramai ibu bapa yang datang dari Tawau, Sandakan, Sempurna, Kunak dan Lahad Datu ke Masjid Nurul Iman SMSLD. Membuktikan semangat dan sokongan yang penuh kepada pihak sekolah dalam program yang dianjurkan sekaligus menggembirakan jiwa-jiwa anak mereka yang belajar di sini. 8.45 pagi solat hajat dimulakan dengan pimpinan Ustaz Mohd Kasri Awang dan diteruskan dengan bacaan yasin.

Selesai solat hajat, ibubapa dan guru dijamu dengan sedikit sarapan pagi sebelum bermulanya aktiviti gotong royong kawasan sekolah. Ibu bapa dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu guru-guru dan pelajar membersihkan kawasan-kawasan sekitar sekolah, asrama dan padang. Dalam masa yang sama ada juga ibu bapa yang menolong memasak bagi jamuan raya tengaharinya. Ustaz Puzi dan Sensei Shafian merupakan orang kuat dalam menyediakan hidangan tengahari, dengan ayam masak merah, kari ayam, rendang daging, sayur lontong dan ketupat nasi.

Jam 12 tengahari ibu bapa dan guru menikmati makan tengahari sekaligus jamuan aidilfitri 2009. Lauk utama dalam jamuan ini adalah ayam sembelihan yang disembelih oleh pelajar-pelajar muslim tingkatan 4 dalam amali sembelihan pada hari sebelumnya.

Keseronokan dan kerjasama yang erat dapat dilihat dalam program dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

Saturday, October 3, 2009

Amali Sembelihan 09



Pada 2.10.2009 berlangsung Program Amali Sembelihan tingkatan 4 (2009). Program yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam itu merupakan kali ke-3 sejak 2007. Dalam program ini seramai 111 pelajar muslim yang terlibat secara langsung menyembelih ayam.

Program bermula jam 4 petang dan berakhirnya 7.30 malam iaitu dari amali sembelihan hinggalah memotong ayam. Guru yang membantu secara langsung sebagai panel penilai sembelihan ialah saya sendiri, Ustaz Mohd Puzi, Ustaz Mohd Kasri, dan Ustaz Samsuddin, serta dibantu oleh Hj Yusof Nanong bersama pekerha-pekerjanya.

Kami amat beruntung kerana amali sembelihan pada kali ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Hafiz Farm yang terletak kira 1km dari kawasan sekolah. Hafiz Farm ini merupakan tempat penyembelihan binatang (ayam, lembu dan kambing) yang dimiliki oleh Haji Yusof Nanong selain Megaridwan. Inilah satu-satunya tempat penyembelihan di Sabah yang menggunakan teknologi canggih sepertimana yang terdapat di semenanjung.

Biarpun diwajibkan semua pelajar muslim menyembelih ayam, namun ada beberapa pelajar yang escape tidak mahu terlibat khususnya pelajar perempuan. Ada yang alahan pada darah, ada yang menyembelih separuh jalan dan ada yang menangis selepas menyembelih. Daripada 140 ekor ayam (termasuk ayam sumbangan Megaridwan) 7 ekor yang tidak sah sembelihan iaitu tidak putus urat halqum dan urat merih serta sembelihan 2 kali.

Beberapa orang pelajar khususnya lelaki dapat menyembelih dengan yakin dan mendapat pujian daripada pemilik Hafiz Farm itu sendiri. Syabas dan tahniah bagi yang berjaya menyembelih dengan sempurna. Pengalaman tersebut jadikanlah ia satu ilmu untuk dipraktikkan di masa-masa akan datang. Amali ini akan diteruskan lagi bagi tahun-tahun yang akan datang. InsyaAllah.

Sekalung penghargaan dan terima kasih Hafiz Farm kerana membantu Panitia Pendidikan Islam melaksanakan amali sembelihan ini dengan jayanya. Tidak lupa juga kepada ahli Panitia Pendidikan Islam dan guru-guru lain yang terlibat.