My Social Link

Sunday, November 27, 2011

Ustazah Pilihan dan Solehah

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته- كل وقت وانتم بخير وعافية

   Cuti sekolah telah seminggu bermula tentu sekali banyak aktiviti dan program keluarga telah dirancang dengan teliti bagi mengisi waktu yang banyak terluang bersama anak-anak khususnya bagi warga pendidik. Hari-hari yang dilalui di Bandaraya Kuala Lumpur ini yang masuk hari ke-3 banyak mengajakku menghabiskan masa bersama  mukabuku. Ketiadaan pengangkutan sendiri di sini sedikit membantutkan aktiviti untuk keluar bersama keluarga menikmati kekalutan dan kehuruharaan masyarakat kota.
   Bercerita mengenai mukabuku ni banyak sekali tulisan-tulisan dan catatan-catatan tentang sesuatu perkara / isu yang terpampang di dinding mukabuku rakan-rakan dan kenalan yang menarik perhatianku. Antaranya mengenai program realiti Ustazah Pilihan dan Solehah. Macam-macam pandangan dan ulasan mengenainya ada yang menyokong dan ada yang mengkritik.
   Bagi aku sememangnya ada pandangan yang tersendiri mengenainya. Ustazah Pilihan atau Solehah adalah satu nama yang direka oleh manusia sendiri, penilaiannya juga oleh manusia bila tepat kriterianya maka dinobatkan sebagai juara dan pemenang. Persoalannya adakah program itu bertepatan dengan nilai-nilai Islam yang menampilkan wajah-wajah peserta yang ditabarrujkan setiap minggu untuk dipertontonkan berjuta-juta manusia dalam negara ini. Para ulama' mazhab secara ijmak telah sepakati bahawa tabarruj / bersolek bagi seorang wanita adalah haram hukumnya melainkan kepada tatapan suami sahaja. Biarpun ada sedikit keharusan untuk mengenakannya namun tiada satupun sebab keharusan tersebut pada semua peserta rancangan realiti ini. Justeru bolehkan kita mengatakannya haram ?.
   Bagi saya progam ini adalah suatu usaha yang bagus yang disediakan oleh pihak astro kepada umum setelah beberapa tahun sebelum ini kita semua dihidangkan oleh pelbagai jenis program realiti yang menjadi punca pergaulan bebas dan pekara maksiat yang lain. Program realiti agama tersebut sekurang-kurangnya kita berjaya mempertontonkan kepada masyarakat satu contoh penampilan pribadi yang baik yang boleh dihayati oleh anak-anak muda zaman ini khususnya kaum hawa. Namun bukanlah dengan mencontohinya semata-mata tanpa mengambil kira pandangan-pandangan dan hujah-hujah ulama atau orang yang ahli dalam bidang agama. 
  Dalam situasi keluh kesah dan serba salah penetapan hukum ini seharusnya kita perlu teliti dengan sedalamnya status program realiti tersebut. Adakah dengan mengadakannya untuk mengurangkan pengaruh program realiti yang negatif memadai kita hukumkan sebagai harus dan menepati syariat Islam ?. Sedangkan dalam masa yang sama pelaksanaan program realiti kaum hawa itu terdapat unsur yang telah dipertikaikan pelbagai pihak. 
   Justeru kita mengharapkan golongan bijak pandai alim ulama khususnya pada mufti dapat melihat perkara ini secara jelas dari segi nas hukum, sebab, kesan serta hikmahnya dalam memberi contoh teladan terbaik kepada masyarakat khususnya kaum remaja yang berkecamuk ketidaktentuan mencari identiti diri yang boleh dihayati sebagai muslimah sejati.

sekian sekadar coretan, wassalam

No comments: