My Social Link

Sunday, October 4, 2009

Program 4 Dalam 1





Hari ini 3.10.09 berlangsungnya program sekolah 4 dalam 1 buat pertama kalinya. Program tersebut ialah Amali Sembelihan (Semalam), Solat Hajat PMR dan SPM, Gotong Royong Sekolah dan Jamuan Aidilfitri SMSLD. Program ini adalah kerjasama daripada Panitia Pendidikan Islam, Unit Kecemerlangan Sekolah, Kelab Keceriaan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Seawal jam 7 pagi ramai ibu bapa yang datang dari Tawau, Sandakan, Sempurna, Kunak dan Lahad Datu ke Masjid Nurul Iman SMSLD. Membuktikan semangat dan sokongan yang penuh kepada pihak sekolah dalam program yang dianjurkan sekaligus menggembirakan jiwa-jiwa anak mereka yang belajar di sini. 8.45 pagi solat hajat dimulakan dengan pimpinan Ustaz Mohd Kasri Awang dan diteruskan dengan bacaan yasin.

Selesai solat hajat, ibubapa dan guru dijamu dengan sedikit sarapan pagi sebelum bermulanya aktiviti gotong royong kawasan sekolah. Ibu bapa dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk membantu guru-guru dan pelajar membersihkan kawasan-kawasan sekitar sekolah, asrama dan padang. Dalam masa yang sama ada juga ibu bapa yang menolong memasak bagi jamuan raya tengaharinya. Ustaz Puzi dan Sensei Shafian merupakan orang kuat dalam menyediakan hidangan tengahari, dengan ayam masak merah, kari ayam, rendang daging, sayur lontong dan ketupat nasi.

Jam 12 tengahari ibu bapa dan guru menikmati makan tengahari sekaligus jamuan aidilfitri 2009. Lauk utama dalam jamuan ini adalah ayam sembelihan yang disembelih oleh pelajar-pelajar muslim tingkatan 4 dalam amali sembelihan pada hari sebelumnya.

Keseronokan dan kerjasama yang erat dapat dilihat dalam program dan berharap ia dapat diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang.

No comments: