My Social Link

Saturday, January 30, 2010

Selamat Tinggal Asrama

Sudah nekad dan muktamad, bermula Februari 2010 diriku bukan lagi seorang waden asrama Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. 2002 penulis mula diamanahkan memegang jawatan tersebut hinggalah esok (31.1.2010). Pelbagai kenangan manis, pahit dan sedih dirasai sepanjang tempoh tersebut dalam berhadapan dengan pelbagai perangai dan kerenah murid-murid.


Watakku sebagai seorang yang tegas dan suka memberikan 'cash' kepada murid kadang-kadang mengundang kebencian mereka pada diriku hingga diri diumpat, dikutuk, disumpah dan diajak bertumbuk (suatu ketika dulu 2004). Namun itulah asam garam sebagai seorang waden yang bukan sahaja di sini bahkan di mana-mana sekolah pun. Kecekalan, ketabahan dan kesabaran amat-amat diperlukan untuk mengurus jiwa muda remaja yang kadang-kadang membara.

Mengutip pengalaman dari tahun ke tahun bersama murid di asrama membuahkan suatu kenangan yang tidak boleh dilupakan. Lebih-lebih lagi di saat mereka menghadapi darurat yang tidak dijangka seperti peristiwa histeria di asrama perempuan tahun 2003 hingga 2005 dan wabak H1N1 yang menggemparkan Lahad Datu pada Julai tahun lalu. Haru biru asrama dan sekolah dibuatnya. Ada juga hikmah atas apa yang berlaku cuma kita terlalu naif di sisi Allah, mungkin untuk menguji keimanan kami atau mungkin sebagai musibah lantaran maksiat yang timbul di luar pengetahuan kami.

Ya Allah jadikan murid-murid kami ini hamba yang sentiasa beribadat kepadaMu, sedarkanlah mereka dari lamunan yang tiada hentinya, ikhlaskanlah hati mereka untuk menyimpan ilmuMu
demi kejayaan akhirat. Buat rakan-rakan waden yang masih setia teruskanlah mengurus mereka sesempurna yang mungkin seperti anak sendiri, jangan biarkan mereka anggap lagi asrama ini seperti penjara biarpun mereka sendiri yang jadikan sedemikian.

Yang benar,
Yusri Yusoff
Waden Aspura 2002-2010

1 comment:

Ameen Muslim said...

assalamualaikum wbt...

pertama, semoga ustaz dan keluarga sihat walafiat hendaknya. dimurahkan rezeki dan bahagia di bawah lembayung rahmatNYA.

kedua, sedih mendengar berita ini. tiada siapa yang membenci ustaz. kami semua pelajar sayangkan ustaz kerana ustaz yang mendidik kami hidup secara beragama (bukan sekadar hidup mcm biasa saja). tanpa rotan, tanpa denda, dan tanpa pengajaran yg ustaz berikan maka hidup kami kurang menitik berat tentang syariat islam.

ketiga, ana ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan jazakallahu kahirun katsira kpd ustaz yg tidak pernah lelah membentuk kami di smsld. sungguh, ALLAH telah mewahyukan rindu dlm diri kami (alumni smsld) kpd ustaz dan guru2 yg lain. betullah cakap orang, sewaktu kita mmpunyai sesuatu - kita kurang hargai. tatkala tiada, baru rasa rindu.

ustaz, teruskan dakwah di smsld. ana doakan agar ustaz berjaya di dunia dan akhirat. terima kasih atas tarbiyah yg ustaz curahkan kpd kami....

salam tulus,
normen halusran.