My Social Link

Wednesday, March 17, 2010

Nilai Di Sebalik Kejayaan



Minggu lalu semua calon SPM 2009 telah melihat bagaimana hasil usaha mereka yang telah dilakukan sepanjang tahun 2009. Ada yang gembira hingga menitiskan airmata bila melihat banyaknya deretan A di dada slip keputusan mereka, dan ada juga yang berduka bila mana tidak banyak deretan A yang tercetak pada kertas tersebut. Tahniah dan syabas bagi yang berjaya dan tingkatkan usaha lagi bagi yang kurang berjaya...redhalah dengan kemampuan kita dan sesungguhnya apa yang kita terima adalah ujian dari Allah yang maha kuasa.

Di sini penulis rasa terpanggil untuk mengulas isu kejayaan yang diperolehi oleh pelajar samada dalam peperiksaan PMR, SPM atau STPM tahun lalu atau tahun-tahun sebelumnya. Sesungguhnya kejayaan akademik seseorang boleh kita lihat pada kertas, samada berjaya atau sebaliknya yang sekaligus menampakkan usaha yang dilakukan sepanjang tahun. Namun bagaimana kita hendak mengukur kejayaan hakiki diri seseorang itu, terlalu abstrak dan sukar untuk dimengertikan. Apa gunanya kalau dalam peperiksaan kita boleh dapat cemerlang, gemilang dan terbilang sedangkan feel perangai atau akhlak macam firaun dan malaun kecil.. tidak sembahyang, tidak puasa, mencuri, tidak menutup aurat dan sebagainya lagi... di manakah nilai kejayaan itu yang seharusnya membawa mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.

Pengalaman penulis sebagai guru agama hampir 10 tahun kadang-kadang sedih apabila melihat kejayaan pelajar hanya di bangku sekolah sahaja. Mereka boleh berakhlak baik, tutur kata yang sopan, pakaian elok mengikut syariat di kawasan sekolah namun bila keluar dari sekolah semua perkara ini bagaikan sudah hilang dalam diri mereka lebih-lebih lagi bila bergaul dengan rakan yang pelbagai gaya, rupa, budaya dan agama. Sedikit sebanyak mereka akan terpengaruh bila dalam diri tidak kuat bekal dan nilai agama yang sepatutnya. Tambahan lagi pada usia begini memang mereka selalu jadi 'pak turut'. Kata Imam al-Ghazali RH "usia remaja ni bagaikan seorang unta yang diikat tali, bila ditarik ke kanan kananla ia pergi dan bila ditarik ke kiri kirilah ia pergi".

Baik atau buruk diri seseorang itu tetap akan menjadi bualan orang, yang baik dipuji disanjung dan dihormati sekalipun tidak diminta sedemikian tapi yang buruk dikutuk dikeji dan dihina, bahkan ada yang menyalahkan ilmu agama dan orang yang mengajar agama. Kerana perangai dan akhlak memang ada kaitan langsung dengan agama.. orang tidak salahkan guru biologi, guru kimia, guru fizik atau guru muzik jika ahklak anak didik mereka rosak dan teruk.. sebaliknya guru agama individu pertama akan dituding jari.

Tulisan ini bukanlah hendak mengata mana-mana pihak, tapi sekadar renungan buat tatapan pelajar dan bagi diri saya sendiri yang mengajar ilmu agama kepada mereka. Mendidik pelajar itu bukan sekadar mencemerlangkan mereka dalam peperiksaan semata-mata tapi lebih kepada menjadikan pelajar itu seorang yang tahu siapa dirinya di sisi keluarga, di sisi guru, di sisi masyarakat dan di sisi Allah swt. Kalau mereka tahu siapa diri mereka insyaAllah mereka akan berjaya di dunia dan akhirat... dan inilah kejayaan yang hakiki.

Nasihat buat rakan-rakan dan pelajar-pelajar yang sudah merebak ke seluruh dunia ini, jadikanlah agama sebagai asas utama dalam hidup kita, sekalipun kita berjaya mendapat Degree, Master mahupun Phd nanum belum tentu kita menerima kitab amalan nanti dengan tangan kanan. Renungi kata-kata Imam al-Ghazali RH " mengajar ilmu agama kepada mereka yang tiada akhlak seperti memberikan cahaya kepada seorang yang buta", "Jikalau ingin melihat akhlak dan budi seseorang itu maka kita lihatlah dengan siapa dia berkawan, kalau baik kawannya maka baiklah ia, tapi kalau sebaliknya maka diapun sebaliknya".

Buat Pelajar : Terus Kejayaan Anda dalam Medan Perjuangan Hidup Yang Sebenar.

No comments: