My Social Link

Friday, May 7, 2010

MTQ Negeri Sabah 2010


Assalamualaikum semua... fuhhh !! lama jugaklah tak update blog ni. Terlalu sibuk dengan urusan-urusan sekolah yang kadang-kadang bagai tidak cukup masa dibuatnya.

Semalam 6.5.10 penulis bersama 2 orang sahabat dari Pejabat Pelajaran Daerah L.Datu (Us. Abu Samah) dan SMK Tungku (Us. Nazri) memulakan perjalanan ke Kota Kinabalu tepat jam 3.10 petang. Bagi penulis memang sudah lama tidak ke KK menggunakan jalan darat sudah pasti terbayangkan kepenatan dan jauhnya destinasi itu. Berbekalkan semangat MTQ yang tinggi semua rasa itu ditolak tepi sekalipun keadaan jalan membantut kelancaran perjalanan kami.

4 orang peserta dari Lahad Datu dalam Majlis Tadarus Al-Quran peringkat Negeri Sabah merupakan penyebab mengapa kami menuju ke KK. Dengan harapan ada kejayaan yang bakal dibawa pulang nanti. Kami ke sana bukannya sebagai guru pengiring tapi sebagai wakil khas dari PPDLD yang diatur oleh pemangku K.Unit P.Islam PPDLD Ustaz Abu Samah.

Jam 11 malam kami sampai di KK dan terus menyewa di Winner Hotel.. memang kepenatan, lepas kemas2 dan urus diri..semua terbungkam berbungkus hinggalah subuh esoknya. Pelajar kami yang mengikuti rombongan PPD Semporna sampai satu jam lebih awal dan menginap di SMKA Inanam.

Keesokan harinya 7 Mei 2010.. seawal pagi kami bangun mengurus diri, sarapan dan terus ke penginapan pelajar untuk sesi latihan, taklimat dan membawa seorang peserta kami (Siti Aisyah Buwathy) ke klinik kerana demam selsema. Latihan diuruskan oleh penulis sendiri bersama Ustaz Nazri untuk acara hafazan. Malamnya sesi latihan diteruskan sekadar termampu. Bagi perserta hafazan ini pastinya menjadi ‘ayam tambatan’ penulis kerana potensinya ada peluang untuk ke peringkat yang lebih tinggi. Saingan bagi acara hafazan menengah perempuan ini ialah dari Kota Belud.. Shahirah yang pernah mewakili Sabah tahun 2009 ke peringkat kebangsaan. Bagi sesi latihan tilawah rendah perempuan tidak dapat dijalankan dengan baik kerana pesertanya masih kurang sihat.

8 Mei 2009 – Pertandingan MTQ Negeri Sabah bermula seawal jam 8 pagi. Penumpuanku semestinya pada acara hafazan menengah perempuan yang mendapat giliran ke 12. Sementara itu sempat jugaklah dibuat latihan terakhir sebelum giliran dipanggil. Meneliti dan menghayati bacaan keseluruhan peserta dari awal sudah memberi keputusan awal bagi diri penulis untuk peserta harapan ini. Secara terperinci diperhatikan setiap bacaan kalimah-kalimah, tajwid, makhraj yang dibaca oleh Nur Farahin… Alhamdulillah semua soalan dapat dijawab dengan baik tanpa sebarang teguran, kini terserah kepada kebijaksanaan dan ketelitian para hakim menilai bacaannya. Bagi diriku biarpun dia sedikit gugup dan gementar mengalunkan ayat-ayat namun hati tetap puas dengan persembahannya… dia sudah buat yang terbaik sebagaimana penulis melatihnya sekadar yang termampu sekadar ilmu yang ada. Dalam hati biarpun tiada tempat dalam senarai pemenang namun hati tetap puas, padahal dalam hati sudah menilai sendiri yang peserta ini boleh jadi naib johan.

Tepat jam 8.45 malam keputusan diumumkan.. ternyata penilaianku tepat.. sekadar di tempat kedua.. syukurlah. Markah perbezaan hanyalah 3 mata berbanding johan. Bila ditanya rakan-rakan hakim.. puncanya ada kelemahan pada waqaf dan ibtida’ serta makhraj-makhraj huruf. Apa apa pun tahniah dan syabas NUR FARAHIN ABD RAZAK sebagai Naib Johan dan layak ke MTQ Kebangsaan sekalipun sebagai peserta simpanan. Bukan mudah untuk menempuhi laluan hingga ke peringkat ini lebih-lebih lagi bagi yang pertama kali menyertainya.

MTQ Kebangsaan nanti akan berlangsung di Universiti Malaysia Terengganu dari 31 hingga 3 Jun nanti. Sekiranya berpeluang diminta bersedia menggantikan Johan buatlah dan bacalah dengan penuh yakin… wassalam

No comments: